Monday, August 9, 2010

KEHAIWANAN DALAM KEMANUSIAAN - the animal in us


'Bajingan kamu...
perangai macam haiwan'.
Itu antara kata-kata kunci yang agak popular dalam novel dan wayang. Kadangkala juga dalam perbualan harian, antara rakan atau dalam famili. Kata-kata ditujukan pada manusia lain, manusia disamakan seperti haiwan.

Tentu ada perbezaan antara manusia dengan haiwan. Jika tidak kenapa diujudkan satu istilah lain untuk objek lain. Semua tahu, kecuali mereka yang tidak mahu, bahawa manusia itu punya fikiran yang lebih bijaksana dari haiwan lain, yang juga punya nafsu dan perasaan, kehendak dan tingkahlaku. Para biologis akan setuju, otak manusia lebih besar dan punya fungsi lebih baik dari haiwan lain, seperti harimau, gajah atau ikan paus. Tetapi masih ada manusia yang tidak menggunakan fikiran, langsung disamakan seperti haiwan. Atau mengecilkan manusia lain kepada taraf tanpa kebijaksaan, iaitu seperti haiwan. Satu pencemaran bahasa dan penghinaan tertinggi. Atau gurauan tanpa kasih.

`Lihat lalat itu.' Kata seorang perempuan Korea pada aku satu ketika dahulu. Jari menunjuk pada seorang lelaki. Lalat? Ya lalat. Disini, lelaki yang suka mengacau, mengganggu atau mengurat tanpa hormat perempuan dipanggil lalat. Ooo... ditempat kami, gelarannya buaya. Lucu. Sana sini, haiwan jadi analogi. Kenapa buaya? Saudari tahu tak, apa pekerjaan buaya ni. Buaya ni pagi-pagi berjemur tengah panas, kemudian menyamar macam pasir atau batang balak yang hanyut. Buaya ni tak ada kerja kecuali mencari mangsa untuk makan. Ditangkapnya, dilemaskannya, dan bila jadi bangkai, dimakannya. Itulah kerja buaya, pagi petang, siang malam. Ooo. Samalah seperti lalat, yang hurung sana, hurung sini, dan kerjanya pun makan sahaja. Tambah lagi, ejen penyakit. Hu hu.

Bos aku dulu, sekarang sudah pencen, selalu tampar lengannya, seolah-olah menampar nyamuk. Walaupun aku perhatikan, dalam blik air cond di pejabat syarikat. Mana ada nyamuk? Tengok dia tu, asyik menggigit sahaja. Terangnya pada aku bila aku tercengang melihat gelagatnya. Cakap kita, semuanya diulas, dikritik. Ada sahaja yang tidak betul. Macam nyamuk. Bisanya tak beberapa, gatalnya agak lama. Ooo... manusia yang suka membuat orang lain tidak selesa, nyamuk gelarannnya.

Suatu ketika dahulu, masa aku masih kecil, kebanyakan negeri di Malaya dilanda banjir, termasuk kampung aku, semuanya tenggelam, kecuali sekeping tanah tinggi dihadapan rumah aku. Maka, semua ternakan bekumpul atau terkumpul disitu, ayam, itik, kambing, kerbau dan lembu. Setelah berminggu, kebanyakan darinya, terutama ayam dan itik habis disembelih buat makanan atau hanyut dibawa arus ke hilir, kerbau pula berenang bersama air deras. Setelah puncak bukit kecil pun dinaiki air, orang kampung berusaha menyelamatkan lembu-lembu dengan manikkannya keatas rakit perahu. Setelah dinaikkan, maka lembu-lembu ini akan terjun kedalam air. Diusahakan bawa naik atas rakit, terjun juga. Naik, terjun. Banyaklah yang mati hanyut dibawa arus deras atau mati lemas. Selebihnya disembelih buat stok makanan. Lembu, lembu. Geleng kepala PakCik aku. Kita nak selamatkan dia. Dia terjun pula. Bodoh betullah lembu-lembu ni...

Bagaimana pula cerita tentang lintah? pacat? ikan? gajah? singa? harimau? rusa? kancil? dinasor? kuda? ular? pelesit? ayam? anjing? kambing? dan lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment