Friday, August 20, 2010

TERAWIH

Bulan puasa kali ini, sembahyang terawih di masjid baru tepi lapangan terbang. Masjid ni sudah lama tiangnya, beberapa tahun lepas, tetapi kali ini, dibuka untuk sembahyang terawih. Model baru, cara terbuka tanpa dinding batu, dengan dinding kaca yang boleh dilihat dari luar, dan terdapat kemudahan untuk OKU naik ketingkat atas. Sesekali tengok, agak canggih, walaupun jauh dari taman perumahan, agak ramai yang datang dengan kenderaan sendiri kerana kemudahan letak kereta yang cukup luas. Aku sendiri datang dari jauh, tetapi masjid yang terdekat jika dikira dari masa perjalanan. Tidak sampai lima minit kerana jalannya terus ke masjid.

Imamnya hafiz. Tanpa baca alQuran, seperti sesetengah masjid lain. Hanya dari memori dan ingat semula. Ayatnya empat lima, tidak menjela-jela sehingga orang-orang tua, atau orang-orang muda ada yang hilang hitung, ingatan merayau-rayau kerana kepenatan berpuasa dan kurang tahap kusyuk. Bacaannya terang dan jelas. Kalau faham bahasa tentu bertambah fokusnya dan imannya. Sukar membandingnya dengan situasi tempat lain. Tetapi masjid yang luas dan besar ini, boleh muat ratusan, malah ribuan orang hanya diisi dua baris jemaah sahaja. Selepas lapan rakaat, hanya tinggal suku saf sahaja. Pembaziran? Tidak untuk jangka panjang. Banyak masjid yang sekarang ini kelihatan tidak lengkap dari segi bentuk kerana dilaksanakan tokok tambah dari struktur asal. Ruang tambah kiri kanan ikut arkitek yang berbeza agaknya sehingga kelihatan tidak ada tema. Keindahannya akan jadi sedikit cacat, mungkin disebabkan tambahan struktur yang tidak difikir secara jangka panjang. Masjid baru ini? Wow. Ramai orang luar akan terpukau melihatnya.

Menunggu waktu Isyak, tiba-tiba aku disapa oleh kawan lama yang sudah lama tidak berjumpa.
'Ingat dah pindah. Atau kerja lain.
'Tidak. Saya masih disini. Cuma dah dua tahun tidak lagi ada keperluan untuk travel.
'Kawan ada berborak dengan kawan lain. Dai membahasakan dirinya kawan.
'Dah pencen agaknya. Katanya senyum mengusik.

Dia kerja sekuriti lapangan terbang. Seringkali aku naik pesawat dia ada disitu, memerhati dan memeriksa. Kami sering bertegur sapa. Seperti orang lain.

'Macam mana kerja?
'Macam dulu juga. Tapi kini agak sunyi dan lengang?
'Lengang?
'Ya la. Dulu satu airline sahaja. Ni lebih ramai orang naik kapal murah. Sebelah sana sibuk. Sebelah sini, sunyi sikit.

Nadanya agak rendah. Mungkin sedih kerana kerja tidak secabar dulu. Mungkin keliru kerana tidak faham situasi yang berubah.

No comments:

Post a Comment