Monday, August 30, 2010

MERDEKA

Pesta bola Piala Dunia 2010 baru-baru ini, seorang rakan bertanya,
Siapa kau sokong untuk jadi juara kali ini?
Seorang rakan lain menjawab, `Belanda.`
Kenapa Belanda? Tanya kawan yang bertanya tadi.
Kerana kita ada pertalian dengan Belanda. Belanda pernah menjajah kita!

Aku seperti tidak percaya, kesan penjajahan itu membawa erti begitu sekali?

Selamat menyambut hari Kemerdekaan yang ke 53 kepada seluruh rakyat Malaysia, yang tahu atau tidak tahu erti kemerdekaan. Terpaksa terima hakikat, ini adalah hari yang maha mulia dalam kehidupan kita yang cintakan keamanan dan kebahagiaan. Bayangkan seseorang yang tidak bebas membuat keputusan, sentiasa berdebar menunggu lampu hijau dari orang lain untuk setiap tindakan, yang kesedaran pada hati hanyalah kebebasan untuk menurut arahan. Sememangnya setiap hari kita tidak dapat mengawal semua keadaan, walhal untuk ketempat kerja pun terpaksa menunggu arahan dan perintah dari lampu insyarat, sebuah mesin, dipersimpangan jalan, atau dari kenderaan sebelah kiri dan kanan yang sentiasa mengawal perjalanan kita. Mana merdeka nya?


Aku masih ingat dari sekolah rendah kesekolah tinggi, dihenyak oleh guru supaya menghormati kemerdekaan. Ketika itu aku hanya faham merdeka itu maknanya kita tidak lagi diperintah oleh orang Inggeris. Lepas itu, aku tidak digalakkan untuk menghayati budaya barat kerana itu petanda kita bukan merdeka. Merdeka maknanya mempunyai budaya sendiri, tidak bergantung kepada pergerakan budaya lain. Walaupun bagi ramai anak muda, fesyen dan gaya hidup tidak ada kena mengena dengan perhambaan pada minat dan kehendak selera. Kerana boleh berbuat sesuatu dengan rela tanpa paksaan adalah kemerdekaan itu sendiri. Seorang anak muda yang telah menganggap dirinya dewasa, telah bekerja dan buat keputusan sendiri adalah secara otomatiknya merdeka. Seorang pekerja yang diberi kelonggaran untuk melakukan tugas tanpa sekatan bos adalah merdeka. Seorang isteri atau suami yang bercerai, bebas dari suami atau isterimnya mungkin berminat untuk melaungkan `merdeka` kerana tidak ada lagi sekatan oleh orang lain, walaupun orang itulah juga yang mereka mahu sekat demi kedamaian dan keharmonian keluarga.


Betapa Tanah Melayu ini melalui detik-detik sejarah yang agak mendebarkan. Dari jajahan Portugis, Belanda dan Jepun (ada yang menulis, jika usaha mereka berjaya, termasuklah Cina, India dan Indonesia). Ada pula yang berpendapat, kita tidak pernah dijajah, hanya diurus oleh pihak British. Sultan telah dibantu oleh residen untuk mengutip dana kerajaan! Betapa ramai patriotik negara, mereka yang cintakan bangsa, iaitu nasionalis, dan aktif untuk praktis kecintaan tersebut dalam aktiviti yang membawa maksud sanggup berkorban jiwa dan raga, untuk kemerdekaan, telah gugur. Ada yang gugur sebagai pahlawan, walaupun secara publik agak lewat. Ada yang gugur tanpa dikenali dan disedari. Ada yang dihina, tanpa boleh berbuat apa-apa oleh rakyat dan bangsa. Betapa orang-orang Melayu pada satu ketika terkenal dengan kepahlawanan dan kegagahan dan keberanian, dengan empayar politik dan perniagaan dari Afrika ke negara Cina, telah di`buli'leh pihak penjajah menjadi bangsa yang penakut dan malu. Takut untuk membantu bangsanya berperang menentang kelibat British, takut dan lari ke hutan apabila Jepun datang menjajah, ketakutan ini menjadi phobia apabila negara merdeka dari pemerintahan British dengan semangat berani yang datang kembali tidak disokong oleh material dan fisikal. Bagaimana mahu hidup bebas jika rata-rata rakyatnya miskin. Segala usaha bergantung pada kemurahan orang lain. Kemiskinan itu menyebabkan kita tidak merdeka kerana mereka menjajah kita dari segi ekonomi. Sehingga ada yang pasrah bahwa kehidupan terbaik untuk orang Melayu bukan di dunia fana ini.

Merdeka itu bermaksud tidak dibelenggu oleh sebarang perkara atau peristiwa untuk bebas memebuat keputusan tentang diri sendiri. Seorang kanak-kanak selepas sekolah rendah tetapi tidak tahu membaca, menulis dan mengira masih seorang hamba. Hamba yang tidak boleh memerdekakan dirinya kerana kehidupannya diikat oleh masalah buta huruf, pencarian kerja nya diikat oleh kelemahan ini, menjadikan dirinya seorang yang tidak merdeka walaupun negranya telah merdeka. Seorang anak muda yang tidak tahu tentang pilihan-pilihan yang berada dihadapannya, dengan hanya membuat keputusan untuk berseronok, hiburan melampau, merempit, menyalah guna dadah, membuat dan membuang anak macam makan nasi lemak, dan tertinggal dalam arus perdana pembangunan tidak merdeka hatinya. Dan perilakunya.

Orang kata, penghayatan itu datangnya dari praktis dan amalan. Amalan itu cetusnya dari ilmu yang ada dan kemahiran yang dipelajari. Ilmu dan kemahiran datangnya dari pemikiran dan emosi (hati) yang jati. Pemikiran dan emosi akan dicetus oleh pengalaman. Mungkinkah penghayatan yang lemah itu datangnya dari fikiran dan hati yang lemah? Mungkinkah pengalaman mengajar yang sebaliknya?

Wednesday, August 25, 2010

PROVUS


Naluri manusia sentiasa dipenuhi, terutama mencapai kehendak kendiri. Dan selalunya kita menilai pencapaian adalah berasaskan kehendak tersebut. Adakah niat, atau istilah lebih popular ketika ini, iaitu objektif, tercapai. Pencapai sesuatu tingkahlaku, peristiwa, projek, program atau rancangan apa jua, adalah senang dinilai berdasarkan konsep sejauhmana objektif tersebut tercapai. Jika kita ingin ke gedung untuk membeli belah, tamat sesi tersebut, kita akan mengukur sejauhmana niat tersebut tercapai, sebanyak mana barang telah dibeli dan adakah memenuhi kehendak kita. Kehendak yang telah kita sendiri tentu dan fikirkan sebelum kegedung tersebut. Ini, logiknya adalah penilaian 'projek' membeli belah yang berasaskan objektif. Senang unytuk dilaksanakan. Bandingkan objektif atau tujuan atau niat dengan hasil. Jika sama, maka projek berjaya. Jika tidak, gagal. Atau separuh terhasil, mungkin kita kita separuh berjaya. Atau separuh gagal, bergantung dari aspek mana kita melihat sesuatu. Dan fikirkan baik-baik, kebanyakan ukuran kita tentang kejayaan atau kegagalan usaha kita atau orang lain, adalah berasaskan penilaian yang mudah ini. Tentukan niat atau objektif. Laksankan aktiviti-aktivi yang memebolehkan objektiuf tercapai. Kemudian ukur hasil. Bandingkan dengan objektif. Nilai kejayaan atau kegagalan. Pengasas utama metod ini adalah Tyler. Sewajarnya lah ramai yang menamakan model ini Model Tyler.

Apabila situasi menjadi lebih kompleks dengan banyak perkara yang mempunyai pengaruh ke atas proses dan hasil, dan banyak pula objektif untuk sesuatu proses tersebut, maka hasil akan berada dalam berbagai bentuk dan nilai. Seseorang pelajar yang ingin berjaya dalam peperiksaan mungkin mempunyai objektif tambahan seperti jumlah A dalam beberapa mata pelajaran, berbagai aktiviti yang perlu dilaksanakan seperti memilih buku, kekerapan mengulangkaji, membuat latihan, perbincangan dan peruntukan masa dan waktu. Dengan ini hasil, bergantung kepada banyak faktor secara keseluruhan atau bergantung kepada pemberatan setiap aktiviti. Untuk menentukan pemberatan maka seseorang mungkin perlu menentukan tahap pencapaian setiap objektif, setiap aktiviti dan setiap hasil atau produk. Secra lazim, hasil setiap objektif dikaitkan dengan standard yang telah ditentukan berdasarkan hasil. Contoh, berapa jam perlu baca buku, berapa buku perlu baca dan berapa latihan perlu dilakukan. Proses menntukan kejayaan atau kegagalan berdasarkan standard telah dipelupori oleh Provus. Dengan itu dinamakan Model Provus. DAn seterusnya...

Dunia semakin matang dan kompleks dan ramai manusia yang berusaha untuk melengkap dan menyempurnakan hidup telah melakukan kemajuan kepada model-model tersebut dengan membawa ide yang inovatif kepada sistem. Hasil berdasarkan standard telah dipiawaikan pula dan diberi nama Petunjuk Pencapaian, NKRA, KPI dan lain-lain lagi. KPI bukan hanya untuk organisasi dan koperat yang memberatkan keuntungan kewangan dan ekonomi tetapi oleh badan-badan yang mengira keuntungan sosial dan politik. Maka kini, berbagai objektif dibincang, berbagai standard ditentukan, berbagai aktiviti di rancang dan dilaksana. Semuanya akan dirujuk kepada hasil yang diperlukan, kadangkala tak kisah pun apa terjadi pada rakyat, masyarakat dan negara. Apatah lagi pada ugama dan kehidupan manusia itu sendiri.

Friday, August 20, 2010

TERAWIH

Bulan puasa kali ini, sembahyang terawih di masjid baru tepi lapangan terbang. Masjid ni sudah lama tiangnya, beberapa tahun lepas, tetapi kali ini, dibuka untuk sembahyang terawih. Model baru, cara terbuka tanpa dinding batu, dengan dinding kaca yang boleh dilihat dari luar, dan terdapat kemudahan untuk OKU naik ketingkat atas. Sesekali tengok, agak canggih, walaupun jauh dari taman perumahan, agak ramai yang datang dengan kenderaan sendiri kerana kemudahan letak kereta yang cukup luas. Aku sendiri datang dari jauh, tetapi masjid yang terdekat jika dikira dari masa perjalanan. Tidak sampai lima minit kerana jalannya terus ke masjid.

Imamnya hafiz. Tanpa baca alQuran, seperti sesetengah masjid lain. Hanya dari memori dan ingat semula. Ayatnya empat lima, tidak menjela-jela sehingga orang-orang tua, atau orang-orang muda ada yang hilang hitung, ingatan merayau-rayau kerana kepenatan berpuasa dan kurang tahap kusyuk. Bacaannya terang dan jelas. Kalau faham bahasa tentu bertambah fokusnya dan imannya. Sukar membandingnya dengan situasi tempat lain. Tetapi masjid yang luas dan besar ini, boleh muat ratusan, malah ribuan orang hanya diisi dua baris jemaah sahaja. Selepas lapan rakaat, hanya tinggal suku saf sahaja. Pembaziran? Tidak untuk jangka panjang. Banyak masjid yang sekarang ini kelihatan tidak lengkap dari segi bentuk kerana dilaksanakan tokok tambah dari struktur asal. Ruang tambah kiri kanan ikut arkitek yang berbeza agaknya sehingga kelihatan tidak ada tema. Keindahannya akan jadi sedikit cacat, mungkin disebabkan tambahan struktur yang tidak difikir secara jangka panjang. Masjid baru ini? Wow. Ramai orang luar akan terpukau melihatnya.

Menunggu waktu Isyak, tiba-tiba aku disapa oleh kawan lama yang sudah lama tidak berjumpa.
'Ingat dah pindah. Atau kerja lain.
'Tidak. Saya masih disini. Cuma dah dua tahun tidak lagi ada keperluan untuk travel.
'Kawan ada berborak dengan kawan lain. Dai membahasakan dirinya kawan.
'Dah pencen agaknya. Katanya senyum mengusik.

Dia kerja sekuriti lapangan terbang. Seringkali aku naik pesawat dia ada disitu, memerhati dan memeriksa. Kami sering bertegur sapa. Seperti orang lain.

'Macam mana kerja?
'Macam dulu juga. Tapi kini agak sunyi dan lengang?
'Lengang?
'Ya la. Dulu satu airline sahaja. Ni lebih ramai orang naik kapal murah. Sebelah sana sibuk. Sebelah sini, sunyi sikit.

Nadanya agak rendah. Mungkin sedih kerana kerja tidak secabar dulu. Mungkin keliru kerana tidak faham situasi yang berubah.

Wednesday, August 11, 2010

PUASA

Aku mula puasa serius bila masuk darjah tiga. Tahun-tahun sebelumnya, puasa hanya 'puasa yang yuk, siang-siang buka periuk'. Pernah darjah satu dan dua bangun seperti ahli keluaga lain. Satu hari, tidur sepanjang hari, pukul empat lebih kurang rasa macam nak mati. Emak kesian tengok aku agaknya, `perglah makan' katanya. Sejak itu aku tak pernah dipaksa puasa. Darjah tiga, sudah tiba kekuatan, bersama kematangan. Untuk berpuasa sepanjang hari. Tidak pula ada niat untuk ponteng. Sesekali sahaja, bila terlalu penat, balik sekolah, tengok ahli keluarga perempuan tidak berpuasa, aku sama-sama minum air. Keinginan datang sendiri. Tidak perlu ada ganjaran dari orang lain.

Bila bekerja, ada rakan-rakan yang puasa 'yang yuk'. Seorang rakan yang tidak banyak cakap, berkata secara bergurau, 'perangai macam budak-budak'. Ya, masing-masing sudah dewasa. Kenapa takut berpuasa? Takut lapar? Sejauh mana lapar pagi hingga petang? Kadang-kadang pun, bila terlalu sibuk kerja, terlupa juga untuk makan tengah hari. Boleh pula. Kedewasaan itu mungkin hanya untuk beberapa perkara, tidak pada perkara lain. Naluri itu, pada manusia, memang tertarik pada keseronokan, lari dari kesakitan. Tetapi yang membezakan manusia itu dari haiwan lain, adalah keupayaan berfikir untuk mengawal naluri. Dan pengawalan naluri ini, melalui ujian oleh Allah, adalah sesuatu yang membolehkan perbezaan manusia dari haiwan itu.

Kenapa mesti menyiksa diri? Tanya Mat itu suatu ketika pada aku, agaknya bila bau mulutku mencemar udara bilik. Sudah diberi naluri untuk makan, kenapa menahannya? Katanya lagi. Apa engkau tak penah puasa? Kata aku. Tidak. Jawabnya. Fikirkan maksud puasa. Apa engkau makan rasuah? Kalau tidak, tentu engkau puasa dari rasuah. Banyak lagi engkau tidak sentuh, tidak makan. Sedangkan perkara itu, mungkin sangat sedap dirasai. Tidakkah engkau terasa tersiksa berpuasa darinya? Ugama engkau dulu-dulu pun menyuruh orang berpuasa. Sekarang hanya tinggal adat sahaja ke? Kami tidak tersiksa. Jika tidak boleh, diizinkan untuk berbuka.

Allah mewajibkan umat Islam berpuasa, sebagaimana diwajibkan keatas umat-umat sebelumnya, semuga mereka bertaqwa. Maksud Al Quran. Perpuasa untuk membuktikan taat kepada Tuhan, bukan untuk menyiksa diri, tetapi mendapat keberkatan dariNya. Iman itu, logiknya, adalah ada kepercayaan, tidak perlu bukti secara nyata untuk itu. Percaya kepada `kehidupan` selepas mati? Macam mana nak buktikannya? Tiada bukti, tidak boleh percaya? Keimanan itu datangnya dari kepercayaan total. Kepercayan tidak total, keimanan tidak total. Buktikan keimanan itu dengan dengan berpuasa, salah satu rukun Islam. Kiranya tidak, ngaku beragama, tetapi suruhan tidak diikuti, boleh ke? Mematangan ini agaknya, menyebabkan aku mula berpuasa, walaupun mungkin kadangkala tidak sempurna, sejak umur 9 tahun.

Puasa mengajar aku untuk tabah dan berani. Walaupun sesekali terasa amat lapar, hati menjadi degil untuk tidak berbuka, kerana takut kena ganti masa bukan bulan Ramadhan, masa orang lain boleh makan disiang hari. Bagaimana menahan nafsu makan? Berani bukan sahaja untuk menghadapi cabaran. Berani, juga untuk tidak makan. Mat itu berani untuk makan. Aku berani untuk tidak makan...

Biarlah mereka dengan ugama dan kepercayaan mereka. Orang Inggeris berbangga kerana bahasa mereka menjadi bahasa antarabangsa. Banyak bangsa mempelajari bahasa Inggeris untuk dikenalpasti. Sekurang-kurangnya, bangsa tersebut menjadi multi-lingual, tahu berbagai bahasa. Bangsa tersebut adalah bangsa yang rajin, rajin mempelajari bahasa lain. Bangsa Inggeris?

Jadi maknanya, dalam kehidupan ini mempunyai paradoksnya sendiri. Keinginan terhadap sesuatu yang sebenarnya adalah keinginan terhadap sesuatu yang lain, yang mungkin membawa makna yang berlawanan dengan makna asal. Gelas yang separuh berisi (air), mungkin bermakna, separuh kosong (air). Jadi, jangan takut untuk berpuasa, kerana anda adalah orang yang berani untuk membuktikan keimanan saudara.

Monday, August 9, 2010

KUANTITATIF DAN KUALITATIF


'Kenapa engkau belajar? Untuk dapat ijazah, untuk senang dapat kerja, dengan gaji yang tinggi, banyak wang, dapat beli banyak barang, dan hidup senang. Kata Pelakon A.

'Aku juga ingin hidup senang. Tidak banyak wang pun tidak apa, asal rakan-rakan, juga pasangan aku memahami diri aku. Kata Pelakon B pula.

Semua orang ingin bahagia. Hidup senang. Ya, semua orang.
Bahagia macam mana? Ada orang inginkan wang yang cukup hanya untuk membeli keperluan untuk survive. Ada pula yang perlu untuk membeli kemewahan. Ada yang punya wang banyak bahagia. Ada yang tidak, risau takut wangnya diambil orang.

Ya. Kita semua inginkan kesenangan. Tetapi kesenangan bagi engkau tidak sama dengan kesenangan bagi aku. Tidak sama dengan dia. Kata Pelakon C.

Apa yang baik untuk semua orang, itu adalah keobjektifan. Tetapi baik untuk seseorang tidak semestinya baik untuk orang lain. Itu adalah kesubjektifan. Lima minit bagi sesetengah orang adalah sekejap. Satu, dua, tiga, empat dan lima. Tetapi bagi orang lain, lima minit menunggu bas, yang tidak kunjung tiba, adalah agak lama. Sungguh membosanlan.

Habis bagaimana kita ingin tahu, kiranya semua orang senang, atau tidak senang? Tanya Pelakon D pula. Bagaimana kita ingin buat keputusan, jika masyarakat kita sudah senang, kerana ada orang anggap dirinya sudah senang, tetapi orang lain kata hidup masih susah? Masih sukar? Masih belum sampai standard majoriti setuju?

Kehidupan ini mempunyai ciri-ciri objektif. Yang berfokus. Yang setiap orang setuju. Yang diperkuat melalui sistem, perundangan, adat dan resam. Tetapi, persetujuan ini banyak bergantung kepada nilai dan kepercayaan individu. Yang sebenarnya diterap dan dibangunkan melalui interaksi dengan persekitaran, dipanggil pengalaman. Jadi hidup ini tidak begitu 'mudah'. Walaupun ramai yang ingin berfikiran 'mudah'.

Tetapi, sebenarnya itulah permulaannya. Bagaimana menentukan sesuatu adalah penyebab kepada sesuatu yang lain? Kepercayaan sebenar atau persepsi? Sejauhmana ianya konsisten dalam kebanyakan situasi dan keadaan?

Bos aku kini mahukan semua orang pakai baju koperat yang sama untuk semua staf. Pada masa yang sama inginkan mereka bersaing dan berinovatif. Bukankah itu perkara yang berbeza? Ada standard tetapi berbeza. Atau perbezaan standard?

KEHAIWANAN DALAM KEMANUSIAAN - the animal in us


'Bajingan kamu...
perangai macam haiwan'.
Itu antara kata-kata kunci yang agak popular dalam novel dan wayang. Kadangkala juga dalam perbualan harian, antara rakan atau dalam famili. Kata-kata ditujukan pada manusia lain, manusia disamakan seperti haiwan.

Tentu ada perbezaan antara manusia dengan haiwan. Jika tidak kenapa diujudkan satu istilah lain untuk objek lain. Semua tahu, kecuali mereka yang tidak mahu, bahawa manusia itu punya fikiran yang lebih bijaksana dari haiwan lain, yang juga punya nafsu dan perasaan, kehendak dan tingkahlaku. Para biologis akan setuju, otak manusia lebih besar dan punya fungsi lebih baik dari haiwan lain, seperti harimau, gajah atau ikan paus. Tetapi masih ada manusia yang tidak menggunakan fikiran, langsung disamakan seperti haiwan. Atau mengecilkan manusia lain kepada taraf tanpa kebijaksaan, iaitu seperti haiwan. Satu pencemaran bahasa dan penghinaan tertinggi. Atau gurauan tanpa kasih.

`Lihat lalat itu.' Kata seorang perempuan Korea pada aku satu ketika dahulu. Jari menunjuk pada seorang lelaki. Lalat? Ya lalat. Disini, lelaki yang suka mengacau, mengganggu atau mengurat tanpa hormat perempuan dipanggil lalat. Ooo... ditempat kami, gelarannya buaya. Lucu. Sana sini, haiwan jadi analogi. Kenapa buaya? Saudari tahu tak, apa pekerjaan buaya ni. Buaya ni pagi-pagi berjemur tengah panas, kemudian menyamar macam pasir atau batang balak yang hanyut. Buaya ni tak ada kerja kecuali mencari mangsa untuk makan. Ditangkapnya, dilemaskannya, dan bila jadi bangkai, dimakannya. Itulah kerja buaya, pagi petang, siang malam. Ooo. Samalah seperti lalat, yang hurung sana, hurung sini, dan kerjanya pun makan sahaja. Tambah lagi, ejen penyakit. Hu hu.

Bos aku dulu, sekarang sudah pencen, selalu tampar lengannya, seolah-olah menampar nyamuk. Walaupun aku perhatikan, dalam blik air cond di pejabat syarikat. Mana ada nyamuk? Tengok dia tu, asyik menggigit sahaja. Terangnya pada aku bila aku tercengang melihat gelagatnya. Cakap kita, semuanya diulas, dikritik. Ada sahaja yang tidak betul. Macam nyamuk. Bisanya tak beberapa, gatalnya agak lama. Ooo... manusia yang suka membuat orang lain tidak selesa, nyamuk gelarannnya.

Suatu ketika dahulu, masa aku masih kecil, kebanyakan negeri di Malaya dilanda banjir, termasuk kampung aku, semuanya tenggelam, kecuali sekeping tanah tinggi dihadapan rumah aku. Maka, semua ternakan bekumpul atau terkumpul disitu, ayam, itik, kambing, kerbau dan lembu. Setelah berminggu, kebanyakan darinya, terutama ayam dan itik habis disembelih buat makanan atau hanyut dibawa arus ke hilir, kerbau pula berenang bersama air deras. Setelah puncak bukit kecil pun dinaiki air, orang kampung berusaha menyelamatkan lembu-lembu dengan manikkannya keatas rakit perahu. Setelah dinaikkan, maka lembu-lembu ini akan terjun kedalam air. Diusahakan bawa naik atas rakit, terjun juga. Naik, terjun. Banyaklah yang mati hanyut dibawa arus deras atau mati lemas. Selebihnya disembelih buat stok makanan. Lembu, lembu. Geleng kepala PakCik aku. Kita nak selamatkan dia. Dia terjun pula. Bodoh betullah lembu-lembu ni...

Bagaimana pula cerita tentang lintah? pacat? ikan? gajah? singa? harimau? rusa? kancil? dinasor? kuda? ular? pelesit? ayam? anjing? kambing? dan lain-lain lagi.