Monday, September 6, 2010

ANTARA PERSEPSI DAN REALITI


Dua rakan lama atas banjaran Kinabalu.


Hari itu, pergi ke sebuah gedung membeli belah, terjumpa rakan sepejabat. Dia bersama seorang anak kecilnya, yang lain-lain tinggal rumah. Sudah besar, tidak lagi suka ikut ibubapa berjalan-jalan. Kebetulan, anak aku pun seperti itu juga.

"Ini atuk..". Dia memperkenalkan aku pada anaknya. Sambil tersengah panjang.
Aku terperanjat panjang. Dah tua ke aku ni?

Ia mengingatkan aku pada seorang rakan lain. Dia menulis satu ketika dulu, dalam SMSnya pada aku tentang perkara lama. Lebih kurang bunyi seperti ini.

Barang lama, panggilnya antik.
Ubat lama boleh jadi racun.
Tahan lama boleh jadi boring.
Fikiran lama, kuno.
Pandang lama-lama, jadi menawan.
makan lama, kenyang.
minum lama, kembung.
kawan lama, rindu.
Belajar lama, cerdik.
Puasa lama, lapar.
dan lain-lain lagi yang aku dah lupa.

Atau boleh juga membawa kepada pengertian lain, bergantung pada persepsi seseorang. Realitinya...

Barang lama, lapuk.
Ubat lama, tradisional.
Tahan lama, fantasi.
Fkiran lama, kebijaksanaan.
Pandang lama-lama,
Makan lama, membazir.
Minum lama, segar.
Kawan lama, bosan.
Belajar lama, lembam.
Puasa lama, kena ganti.

Aku kalau duduk lama-lama, kaki dapat semut-semut. Sereban, orang Pahang panggil. Tetapi masih ramai yang suka duduk lama-lama. Terutama dalam jawatan yang mempunyai keistimewaan, dari segi prestij atau kuasa. Walaupun, kadangkala, diri sendiri rasa bosan dengan situasi yang sama, sehingga pencen. Sebab itu, banyak organisasi membuat ketetapan tidak resmi, perpindahan staf setiap 3 atau empat tahun sekali. Bayangkan guru yang mengajar disekolah yang sama. Polis yang mengarah lalulintas pada simpang yang sama. Kerani yang menulis pada meja yang sama. Nelayan pada perairan yang sama. Tukang masak pada periuk yang sama. Posmen pada jalan yang sama. Pegawai atasan pada arahan yang sama. Wakil rakyat pada kawasan yang sama. Penulis blog pada isu yang sama. Imam pada masjid yang sama. Anai-anai pada kayu yang sama.

Ini mengingatkan aku juga pada seorang CEO sebuah perbadanan yang besar, bercakap pada staf-staf kanan-kanan nya.
"Kita ini macam penumpang dalam sebuah bas. Bila bosan satu tempat duduk, kita tukar-tukar posisi. Mungkin pandangannya berbeza.'
Bagaimana dengan orang lain yang juga ingin naik bas?

Apabila kita telalu lama menerima berita yang sama, berita yang hanya pada mulanya hanyalah satu pemerhatian telah menjadi satu hakikat. Pada awalnya hanya satu hipotesis telah menjadi satu teori. Kerana lamanya, pola yang sama telah menjadi konsisten, maka kita membuat pandaian, ia adalah realiti. Walaupun, keberangkalian ia berulangkali berlaku adalah besar, tetapi banyak perjara dalam dunia ini hanyalah satu kebetulan sahaja. Tidak ada kesan punca dan sebab. Lihat sahaja awan yang muram, adalah menyebabkan hujan? Dengar sahaja guruh, kilat sabung menyabung, hujan turun. Adakah guruh menyebabkan kilat? Adakah kilat menyebabkan hujan? Adakah hujan menyebabkan jalan menjadi basah?

Lagu dan cerita bangau oh bangau, mengajar anak-anak kita asas logik. Logik itu perlulah diajar dengan betul. Apakah alternatif-alternatif pada sesuatu peristiwa, apakah keberangkalian perlakuan peristiwa dan apakah hasilnya memberi kesan yang penting? Terutama pada manusia? Kadangkala kita hanya memberi input atau stimulus untuk mendapatkan tindakbalas. Jika tiada tindakbalas, input itu tentunya tidak berjaya kerana tiada memberi kesan, tidak efektif. Gosip adalah untuk mendapatkan reaksi. Tiada reaksi, gosip itu akan tenggelam. Demonstrasi dan balingan najis adalah untuk menyebabkan konflik. Tiada konflik, maka demonstrasi dan balingan najis hanya stimulus sahaja. Lebih baik habiskan tenaga panjat gunung, dapat lihat alam semulajadi dan pandangan yang menakjubkan, perasaan yang magikal dan realiti bahawa apabila panjat gunung tiba puncak, lama-lama kena turun ke bawah juga. Siapa nak tinggal atas gunung?