Friday, July 30, 2010

TILAWAH AL-QURAN


'Lepas berita Tok nak tengok TV1.'
Kata ibuku. Ditujukan kepada anak-anak aku. Mungkin lebihnya pada aku. Anak-anak aku masa tu sedang sibuk buat kerja rumah.
Sejak itu, tiga hari lepas, aku mengadap tv mendengar ngajian ayat-ayat suci Al-Quran, didendangkan oleh peserta-peserta dari seluruh dunia termasuk Malaysia. Betapa aku tidak dapat menghayati bacaan. Aku tidak tahu bahasa Arab. Ibuku yang dulunya sekolah Arab, duduk depan tv, sesekali komen tentang sebutan dan lagunya.
Eh. Tak de peluang menang. Kenapa panggil orang yang tak tahu baca. Sekerat-kerat. Mungkin padanya, ketika usia sebegini, pertandingan tidak ada maknanya. Mungkin, padanya bacaan adalah untuk menghayati keindahan kalam Allah.

Sambil mendengar, aku membaca makna yang terpapar dikaca tv. Mutu suara dan melodi, sebutan dan dendangan tiba-tiba menusuk hati. Kesyahduan menyerang fikiran. Terlalu sibuk rupanya aku dengan kerja-kerja pejabat dan keluarga. Sehingga hampir setiap waktu, perancangan dan perbuatan hanyalah untuk mereka. Sehingga terlupa untuk merenung sebenar kehidupan. Seolah-olah aku ini sudah sempurna untuk menghadapi dunia dan akhirat.

'Saudara bijak bercakap tentang bdang ilmu ini. Saya banyak belajar tentangnya.' Kata seorang peserta bila diberi peluang untuk menyampuk.
'Saya banyak belajar hari ini. Tetapi entah mengapa saya rasa tidak lengkap. Tidak ada roh dalam ceramah saudara. Tidak ada kerendahan dan keinsafan dalam cakap-cakap saudara. Sedangkan kehidupan kita ini adalah untuk kebaikan semua umat. Kita semua ini sangat rendah berbanding kuasa Allah subhanahuwataala.'

Aku tersentak dalam kenangan. Dalam satu ceramah di Melaka. Peserta ini sungguh berani. Dan benar. Memang aku tidak banyak menyentuh soal kepercayaan. Kerana ceramah ini hal-hal akademik. Hal-hal operasi keilmuan. Di mana aku hendak selitkan hal keagamaan? Bukan hal itu aku dibayar kesini!

Setiap perbuatan itu, mulakan dengan Auzubillah. Kemudian Bismillah. Aku mohon izin Allah dijauhi daripada syaitan yang di rejam. Supaya segala syaitan dan lambang-lambangnya tidak ada dalam percakapan dan perbuatan aku. Supaya aku tidak takbur dalam penglihatan dan pendengaran, dan tidak mengecilkan orang lain, kerana mereka pun sama juga seperti aku. Hamba kepada Tuhan yang Maha Esa.

Suara yang mendatar, dan kemudian nyaring mendayu-dayu, merayu-rayu mengejutkan aku dari lamunan. Sekurang-kurangnya, Rancangan Tilawah ini telah menyedarkan aku bahawa kehidupan harian ini lebih daripada hanya untuk diri sendiri sahaja.

No comments:

Post a Comment