Monday, August 30, 2010

MERDEKA

Pesta bola Piala Dunia 2010 baru-baru ini, seorang rakan bertanya,
Siapa kau sokong untuk jadi juara kali ini?
Seorang rakan lain menjawab, `Belanda.`
Kenapa Belanda? Tanya kawan yang bertanya tadi.
Kerana kita ada pertalian dengan Belanda. Belanda pernah menjajah kita!

Aku seperti tidak percaya, kesan penjajahan itu membawa erti begitu sekali?

Selamat menyambut hari Kemerdekaan yang ke 53 kepada seluruh rakyat Malaysia, yang tahu atau tidak tahu erti kemerdekaan. Terpaksa terima hakikat, ini adalah hari yang maha mulia dalam kehidupan kita yang cintakan keamanan dan kebahagiaan. Bayangkan seseorang yang tidak bebas membuat keputusan, sentiasa berdebar menunggu lampu hijau dari orang lain untuk setiap tindakan, yang kesedaran pada hati hanyalah kebebasan untuk menurut arahan. Sememangnya setiap hari kita tidak dapat mengawal semua keadaan, walhal untuk ketempat kerja pun terpaksa menunggu arahan dan perintah dari lampu insyarat, sebuah mesin, dipersimpangan jalan, atau dari kenderaan sebelah kiri dan kanan yang sentiasa mengawal perjalanan kita. Mana merdeka nya?


Aku masih ingat dari sekolah rendah kesekolah tinggi, dihenyak oleh guru supaya menghormati kemerdekaan. Ketika itu aku hanya faham merdeka itu maknanya kita tidak lagi diperintah oleh orang Inggeris. Lepas itu, aku tidak digalakkan untuk menghayati budaya barat kerana itu petanda kita bukan merdeka. Merdeka maknanya mempunyai budaya sendiri, tidak bergantung kepada pergerakan budaya lain. Walaupun bagi ramai anak muda, fesyen dan gaya hidup tidak ada kena mengena dengan perhambaan pada minat dan kehendak selera. Kerana boleh berbuat sesuatu dengan rela tanpa paksaan adalah kemerdekaan itu sendiri. Seorang anak muda yang telah menganggap dirinya dewasa, telah bekerja dan buat keputusan sendiri adalah secara otomatiknya merdeka. Seorang pekerja yang diberi kelonggaran untuk melakukan tugas tanpa sekatan bos adalah merdeka. Seorang isteri atau suami yang bercerai, bebas dari suami atau isterimnya mungkin berminat untuk melaungkan `merdeka` kerana tidak ada lagi sekatan oleh orang lain, walaupun orang itulah juga yang mereka mahu sekat demi kedamaian dan keharmonian keluarga.


Betapa Tanah Melayu ini melalui detik-detik sejarah yang agak mendebarkan. Dari jajahan Portugis, Belanda dan Jepun (ada yang menulis, jika usaha mereka berjaya, termasuklah Cina, India dan Indonesia). Ada pula yang berpendapat, kita tidak pernah dijajah, hanya diurus oleh pihak British. Sultan telah dibantu oleh residen untuk mengutip dana kerajaan! Betapa ramai patriotik negara, mereka yang cintakan bangsa, iaitu nasionalis, dan aktif untuk praktis kecintaan tersebut dalam aktiviti yang membawa maksud sanggup berkorban jiwa dan raga, untuk kemerdekaan, telah gugur. Ada yang gugur sebagai pahlawan, walaupun secara publik agak lewat. Ada yang gugur tanpa dikenali dan disedari. Ada yang dihina, tanpa boleh berbuat apa-apa oleh rakyat dan bangsa. Betapa orang-orang Melayu pada satu ketika terkenal dengan kepahlawanan dan kegagahan dan keberanian, dengan empayar politik dan perniagaan dari Afrika ke negara Cina, telah di`buli'leh pihak penjajah menjadi bangsa yang penakut dan malu. Takut untuk membantu bangsanya berperang menentang kelibat British, takut dan lari ke hutan apabila Jepun datang menjajah, ketakutan ini menjadi phobia apabila negara merdeka dari pemerintahan British dengan semangat berani yang datang kembali tidak disokong oleh material dan fisikal. Bagaimana mahu hidup bebas jika rata-rata rakyatnya miskin. Segala usaha bergantung pada kemurahan orang lain. Kemiskinan itu menyebabkan kita tidak merdeka kerana mereka menjajah kita dari segi ekonomi. Sehingga ada yang pasrah bahwa kehidupan terbaik untuk orang Melayu bukan di dunia fana ini.

Merdeka itu bermaksud tidak dibelenggu oleh sebarang perkara atau peristiwa untuk bebas memebuat keputusan tentang diri sendiri. Seorang kanak-kanak selepas sekolah rendah tetapi tidak tahu membaca, menulis dan mengira masih seorang hamba. Hamba yang tidak boleh memerdekakan dirinya kerana kehidupannya diikat oleh masalah buta huruf, pencarian kerja nya diikat oleh kelemahan ini, menjadikan dirinya seorang yang tidak merdeka walaupun negranya telah merdeka. Seorang anak muda yang tidak tahu tentang pilihan-pilihan yang berada dihadapannya, dengan hanya membuat keputusan untuk berseronok, hiburan melampau, merempit, menyalah guna dadah, membuat dan membuang anak macam makan nasi lemak, dan tertinggal dalam arus perdana pembangunan tidak merdeka hatinya. Dan perilakunya.

Orang kata, penghayatan itu datangnya dari praktis dan amalan. Amalan itu cetusnya dari ilmu yang ada dan kemahiran yang dipelajari. Ilmu dan kemahiran datangnya dari pemikiran dan emosi (hati) yang jati. Pemikiran dan emosi akan dicetus oleh pengalaman. Mungkinkah penghayatan yang lemah itu datangnya dari fikiran dan hati yang lemah? Mungkinkah pengalaman mengajar yang sebaliknya?

No comments:

Post a Comment