Thursday, July 29, 2010

HARI CEMERLANG

Kelmarin, bukan bermakna dua hari lepas, aku tak bilang bila, ada majlis Hari 'Cerita Karektor' dalam organisasi aku bekerja. Nama glamour bagi upacara pemberian hadiah staf cemerlang untuk tahun ini. Aku tak dijemput, kerana yang dijemput hanya mereka yang mendapat anugerah. Maknanya, agaknya, aku tidak 'cemerlang', tahun ini, atau tiada pengktirafan untuk aku dan rakan-rakan lain, yang juga tidak dijemput.
Cerita Karektor. Cerita yang bermaksud gambaran atau lukisan. Karektor yang bermaksud kualiti atau sifat-sifat yang menjadi perangsang kepada orang lain.
Apakah mereka, hari itu memberi gambaran karektor yang berkualiti, mempunyai nilai yang mempengaruhi orang lain tentang keberkesanan dan kecekapan? Efisien dan efektif? Bukankah kerja ini kita lakukan bersama, selama ini, sehingga kejayaan itu hanya digambarkan oleh seorang sahaja? Gambaran oleh siapa? Kenapa aku hanya menerimanya sekali sahaja, dua puluh tahun yang lepas, sedangkan orang itu dan itu, telah terima 3 kali, ada yang lebih, ada yang pencen pun tidak terima penghargaan, telah lupa agaknya, atau 'teruk' betul kerjanya? Ketidakpuasan ini hanya oleh mereka yang terpinggir dalam sistem penilaian organisasi, yang dibentuk untuk memilih berdasarkan permainan mereka yang berkuasa memilih. Walaupun ada panel, ahli panel pula yang terpilih, kadang-kadang, suku sakat mereka, kadang-kadang menimbulkan tiada keraguan tentang kerakusan manusia untuk menjadi tamak dan mahu memiliki semuanya. Orang lain itu tidak berfungsi dalam dunia ini. Apa ceritanya? Sebuah gambaran hati yang merasa panas, dan kemudian sedih, dan kemudian insaf, tentang kekurangan diri dan interpretasi orang lain, terhadap orang lain, walaupun dihadapan Tuhan sendiri.

Kita sering dikejutkan berita rasuah dan penipuan dan pecah amanah melibatkan beberapa ringgit, mungkin jutaan ringgit. Tetapi malam ini, bila bintang menari-menari di atas bulan dan awan, yang tidak jelas disebabkan kabus, kes tuduhan kali ini melibatkan bilionan ringgit. Aku pun juga mahu kaya. Ramai orang kalau ada peluang untuk balas dendam pada dunia, tanpa disedari orang lain, secara sengaja atau paksa, mahu juga pegang bilionan ringgit. Lebih seratus generasi aku tidak perlu kerja, cari wang, dan mungkin tidak perlu pendidikan tinggi, hanya perlu ada fikiran waras untuk guna wang. Tidak perlu beli jet peribadi, beli sahaja tiket MAS atau Air Asia untuk kemana sahaja destinasi di planet dunia ini. Tidak perlu beli rumah besar, hanya bila teringinkan bilik tidur besar dan makan berhawa dingin makanan cita rasa luar negeri, menginaplah dua tiga minggu di mana-mana hotel lima bintang atau lebih. Kiranya lebih lama, maka mungkin merasa bosan, pindahlah ke hotel lain dengan suasana yang baru. Tidak perlu cari isteri atau suami, kerana isteri atau suami yang akan cari anda. Dengan kerja, dan gaji aku ini, bonus dan sedekah orang, mungkinkah capai sejuta Ringgit Malaysia pendapatan, sepanjang hayat aku? Se bilion? Sejuta juta? Aku boleh hidup sejuta tahun lagi! Di mana letaknya karisma?

No comments:

Post a Comment