Wednesday, July 14, 2010

TERENGGANU KITA


Hujung minggu lepas, aku memandu ke Trengganu, dari JB melalui Pahang untuk urusan pribadi. Jam 8 malam baru melalui Kemaman, dan jam 12 malam baru sampai ke Pantai Batu Buruk. Bermalam di sebuah hotel terkenal lama di Kuala. Pagi-pagi bangun untuk sarapan, terbayang nasi dagang dengan ikan aya, satu-satunya makanan dari Pantai timur yang menggiurkan selera. Pergi ke meja makanan, nasinya masih banyak tetapi lauknya hanya tinggal kuah dan tulang. Memang rezeki musafir tidak ada pagi itu. Aku mengisi perut dengan roti bakar dan kuetiau. Mungkin asal dari pantai barat.

Waktu semalam, bandar ini sungguh indah dengan lampu dan jalan yang bersih. Pagi ini, jalan menghala ke Gong Badak agak penuh dengan kereta dan motosikal. Walaupun sesak, kenderaan tetap bergerak, walaupun perlahan. Sebuah kereta memotong laju dan aku tertanya-tanya apakah yang dikejar pemandunya. Tidak ada lori barang kecuali tanker. Mungkin lori melalui jalan-jalan lain.

Rupa-rupanya banyak gong di Terengganu ini. Gong Rusa. Gong Ajil. Gong Kapas dan lain-lain. Mesti ada yang nostalgik disebalik nama, agaknya. Begitu juga macam di Johor. Banyak Kulai, Masai, Skudai, Pulai, dan lain-lain.

Pagi ini aku dikejutkan dengan berita muka depan surat khabar. Harga minyak petrol naik. Harga gula naik. Mungkinkah harga teh tarik naik? Mungkinkah kuih muek naik. Segala makanan yang memerlukan gula naik? Bagaimana dengan reaksi orang Kelantan yang memang sukakan gula dalam banyak menu mereka? Mungkinkah lepas ini kurangnye penyakit kencing manis? Apakah kenaikan harga gula akan mengurangkan selera terhadap rasa manis? Bukankah manis itu selalu diajukan baik kepada wajah senyuman dan hati budi? Apakah kurang gula akan bermakna kurangnya manis pada ciri manusia itu?

Aku sudah mula merasa ramai berkehendak untuk menukar kereta kapada yang lebih kecil. CC kecil bermakna kurang penggunaan minyak untuk perjalanan yang sama. Atau perlukah aku kurangkan perjalanan? Kuranglah pergerakan, kuranglah kehidupan nanti. Aku kira-kira, gaji sudah mati. Mana cari duit lebih untuk tampung kenaikan belanja yang wajib ini? Perlukah cari kerja lain? Part time? Atenden pam minyak. Atau cashier hyper market? Atau aku jual saje kereta dan naik bas. Mungkinkah tiket bas akan naik?

Kurangkan pembaziran. Itu selalu nasihat aku pada anak-anak yang aku hantar sambung belajar. Pembaziran apa Abah? Ini RM10 sehari cukup-cukup makan tengahari dan malam. Aku terpaksa tambah RM5 lagi untuk sarapan pagi dan minum petang. Patutlah bila mereka balik, nampak kurus. Kalau timbang mahu aku teka tolak 5 kilogram. Sekurang-kurangnya. Pembaziran apa? Yang adapun tak cukup!

Tak tau pun aku ada subsidi kerajaan pada banyak barang keperluan. Ingat aku, macam juga Pak Cik aku, subsidi hanya pada baja sahaja... Jadi selama ini kerajaan banyak bayar minyak kereta aku? Gula aku? Banyaknya aku terhutang budi dengan mereka. Apa lagi hah? Apakah kenaikan ini tidak begitu membebankan? Guano kita...

No comments:

Post a Comment