Tuesday, July 6, 2010

penari bintang

Bila malam, tanpa awan, aku merenung kelangit, nampak bintang-bintang gemerlapan, seolah-olah menari, sesama sendiri, dengan rentak yang tidak boleh aku pastikan. Alangkah baik dan indahnya, kalau aku dapat bersama mereka, melihat bumi dan manusia, dengan rentak mereka sendiri tersendiri. Lebih indahnya, kalau aku salah sebuah dari mereka, menari-nari dari satu angkasa ke angkasa yang lain, ruang yang tiada sekatannya.

Guru sains aku dahulu kala berkata, bintang itu adalah matahari, yang jauhnya berjuta-juta batu, dan cahayanya berjalan juga berjuta-juta batu, baru sampai ke bumi. Tetapi kerana cahaya itu bergerak sangat pantas, maka masa yang diambil tidak boleh dikira seperti manusia berjalan kaki. Batu dan kaki adalah ukuran jarak yang sudah tidak lagi formal di Malaysia, tetapi masih digunakan untuk ramai manusia normal untuk faham tentang banyak berkara biasa.

Kelmarin aku terima email, ajak sertai majlis alumni sekolah menengah di KL hujung bulan nanti. Dijemput juga menyertai laman facebook, untuk bersosial agaknya dengan rakan-rakan lama. Betapa masa itu sangat cepat berlalu. Dua tiga puluh tahun yang lama, hanya seperti semalam, dan tatacara peristiwa diantaranya, hilang entah ke mana. Ramai manusia seperti itu. Mungkin kebanyakannya. Mungkin kesemuanya. Itu kerja pakar psikologi untuk mengkaji. Tapi aku masih seperti dahulu, masih muda dan punya semangat. Pemikiran, harapan dan angan-angan masih seperti dulu. Cuba jumpa rakan sebaya seusia. Gurau dan ucapan masih tidak berubah. Cuba sekali sekala dikejutkan oleh sapaan /pembantu kedai atau kashier, "PakCik, boleh saya bantu?". Haahhh? Rasanya baru semalam mereka memanggil aku 'abang'.

Satu demi satu Tuhan beri dan kemudian, diambilNya. Jika dimahu ambil semuanya sekali gus, boleh dibuatnya. Rakan kepada rakan aku, beberapa bulan dahulu, sedang membasuh kereta, tiba-tiba tersandar ditiang rumah, sudah meninggal dunia. Rakan sekerja dahulu, bersara tidak mahu bersara kerana katanya memudaratkan. Pergi holiday di sebuah pulau popular, meninggal dunia dalam bilik hotel. Jadi, jika Tuhan itu mengaburkan mata, itu kira ok kerana selepas itu mungkin diambilnya pendengaran, dan selera makan dan berbagai lagi, satu demi satu. Dan akhirnya menjadi takut sendiri, takut-takut tidur, tidak sedari tidak bangun lagi. MasyaAllah.

Masa itu adalah cabarannya sendiri. Zaman dahulu kala, manusia tidak ada jam, masa dikira berdasarkan peristiwa. Barapa lama anda menanak nasi, berapa kali malam akan jumpa bulan pernama seterusnya, berapa jauh perjalanan dengan nyalaan sebatang rokok atau dimana bayang-bayang anda diwaktu siang atau malam. Untuk itu, anda akan merenung kelangit, tanpa awan, akan nampaklah bintang-bintang menari-nari sesama mereka. Mungkin menjadi seperti aku, bersedia terbang, untuk menjadi penari bintang...

No comments:

Post a Comment