Friday, July 30, 2010

TILAWAH AL-QURAN


'Lepas berita Tok nak tengok TV1.'
Kata ibuku. Ditujukan kepada anak-anak aku. Mungkin lebihnya pada aku. Anak-anak aku masa tu sedang sibuk buat kerja rumah.
Sejak itu, tiga hari lepas, aku mengadap tv mendengar ngajian ayat-ayat suci Al-Quran, didendangkan oleh peserta-peserta dari seluruh dunia termasuk Malaysia. Betapa aku tidak dapat menghayati bacaan. Aku tidak tahu bahasa Arab. Ibuku yang dulunya sekolah Arab, duduk depan tv, sesekali komen tentang sebutan dan lagunya.
Eh. Tak de peluang menang. Kenapa panggil orang yang tak tahu baca. Sekerat-kerat. Mungkin padanya, ketika usia sebegini, pertandingan tidak ada maknanya. Mungkin, padanya bacaan adalah untuk menghayati keindahan kalam Allah.

Sambil mendengar, aku membaca makna yang terpapar dikaca tv. Mutu suara dan melodi, sebutan dan dendangan tiba-tiba menusuk hati. Kesyahduan menyerang fikiran. Terlalu sibuk rupanya aku dengan kerja-kerja pejabat dan keluarga. Sehingga hampir setiap waktu, perancangan dan perbuatan hanyalah untuk mereka. Sehingga terlupa untuk merenung sebenar kehidupan. Seolah-olah aku ini sudah sempurna untuk menghadapi dunia dan akhirat.

'Saudara bijak bercakap tentang bdang ilmu ini. Saya banyak belajar tentangnya.' Kata seorang peserta bila diberi peluang untuk menyampuk.
'Saya banyak belajar hari ini. Tetapi entah mengapa saya rasa tidak lengkap. Tidak ada roh dalam ceramah saudara. Tidak ada kerendahan dan keinsafan dalam cakap-cakap saudara. Sedangkan kehidupan kita ini adalah untuk kebaikan semua umat. Kita semua ini sangat rendah berbanding kuasa Allah subhanahuwataala.'

Aku tersentak dalam kenangan. Dalam satu ceramah di Melaka. Peserta ini sungguh berani. Dan benar. Memang aku tidak banyak menyentuh soal kepercayaan. Kerana ceramah ini hal-hal akademik. Hal-hal operasi keilmuan. Di mana aku hendak selitkan hal keagamaan? Bukan hal itu aku dibayar kesini!

Setiap perbuatan itu, mulakan dengan Auzubillah. Kemudian Bismillah. Aku mohon izin Allah dijauhi daripada syaitan yang di rejam. Supaya segala syaitan dan lambang-lambangnya tidak ada dalam percakapan dan perbuatan aku. Supaya aku tidak takbur dalam penglihatan dan pendengaran, dan tidak mengecilkan orang lain, kerana mereka pun sama juga seperti aku. Hamba kepada Tuhan yang Maha Esa.

Suara yang mendatar, dan kemudian nyaring mendayu-dayu, merayu-rayu mengejutkan aku dari lamunan. Sekurang-kurangnya, Rancangan Tilawah ini telah menyedarkan aku bahawa kehidupan harian ini lebih daripada hanya untuk diri sendiri sahaja.

Thursday, July 29, 2010

JATI DIRI

Cinta sejati tidak wujud, kecuali hanya dalam novel romantik atau cerita wayang. begitu aku baca dalam satu rencana dalam sebuah akhbar tidak lama dahulu. Dengan connotation. Cinta sejati hanya wujud dengan tanggungjawab. Analoginya senang. Kata kawan aku Jamaluddin, tanpa langsung. Kahwin muda, tanpa kerja, tanpa kematangan. Hanya romans. Tiga bulan, sudah tahu hati budi, sudah tahu hidu busuk atau wangi. Sudah pandai usikan yang serius. Ramai yang kecundang kerana tanggungjawab untuk survive tidak boleh hanya dengan cinta. Survival perlukan lebih dari itu. Ia memerlukan makanan, perlindungan, kesihatan, pemahaman dan lebih dari itu. Ia memerlukan pengiktirafan.

Aku agak malu untuk bercerita tentang cinta dalam usia sebegini. Jika ia cerita keberahian antara lelaki dan perempuan. Lantaran pengalaman yang banyak mengajar kita tentang kasih dan sayang, kehampaan dan kekecewaan, kesunyian dan keganasan, kejayaan dan kepercayaan. Kesejatian cinta itu memerlukan kebertanggungjawaban dan kepercayaan. Dan ketulusan dan keikhlasan.

Suatu hari aku ditanya, apa maksud jati-diri? Terpeka, aku bertanya balik, apa maksudnya? Mereka, pelajar-pelajar muda dan tua, berdebat tentang sifat mulia, tentang kekuatan dan integriti, tentang nilai dan amalan... sehinggalah aku kaitkaan jati dengan sejati. Dengan contoh, jati diri dengan Melayu sejati. Dan seorang muda mencadangkan jati diri dengan cinta sejati. Dan mereka mula berfikir panjang, dan berbincang senyap, mungkin mambayangkan, melakonkan semula dalam fikiran, cuba memahami dan mencari ciri-ciri sejati...

HARI CEMERLANG

Kelmarin, bukan bermakna dua hari lepas, aku tak bilang bila, ada majlis Hari 'Cerita Karektor' dalam organisasi aku bekerja. Nama glamour bagi upacara pemberian hadiah staf cemerlang untuk tahun ini. Aku tak dijemput, kerana yang dijemput hanya mereka yang mendapat anugerah. Maknanya, agaknya, aku tidak 'cemerlang', tahun ini, atau tiada pengktirafan untuk aku dan rakan-rakan lain, yang juga tidak dijemput.
Cerita Karektor. Cerita yang bermaksud gambaran atau lukisan. Karektor yang bermaksud kualiti atau sifat-sifat yang menjadi perangsang kepada orang lain.
Apakah mereka, hari itu memberi gambaran karektor yang berkualiti, mempunyai nilai yang mempengaruhi orang lain tentang keberkesanan dan kecekapan? Efisien dan efektif? Bukankah kerja ini kita lakukan bersama, selama ini, sehingga kejayaan itu hanya digambarkan oleh seorang sahaja? Gambaran oleh siapa? Kenapa aku hanya menerimanya sekali sahaja, dua puluh tahun yang lepas, sedangkan orang itu dan itu, telah terima 3 kali, ada yang lebih, ada yang pencen pun tidak terima penghargaan, telah lupa agaknya, atau 'teruk' betul kerjanya? Ketidakpuasan ini hanya oleh mereka yang terpinggir dalam sistem penilaian organisasi, yang dibentuk untuk memilih berdasarkan permainan mereka yang berkuasa memilih. Walaupun ada panel, ahli panel pula yang terpilih, kadang-kadang, suku sakat mereka, kadang-kadang menimbulkan tiada keraguan tentang kerakusan manusia untuk menjadi tamak dan mahu memiliki semuanya. Orang lain itu tidak berfungsi dalam dunia ini. Apa ceritanya? Sebuah gambaran hati yang merasa panas, dan kemudian sedih, dan kemudian insaf, tentang kekurangan diri dan interpretasi orang lain, terhadap orang lain, walaupun dihadapan Tuhan sendiri.

Kita sering dikejutkan berita rasuah dan penipuan dan pecah amanah melibatkan beberapa ringgit, mungkin jutaan ringgit. Tetapi malam ini, bila bintang menari-menari di atas bulan dan awan, yang tidak jelas disebabkan kabus, kes tuduhan kali ini melibatkan bilionan ringgit. Aku pun juga mahu kaya. Ramai orang kalau ada peluang untuk balas dendam pada dunia, tanpa disedari orang lain, secara sengaja atau paksa, mahu juga pegang bilionan ringgit. Lebih seratus generasi aku tidak perlu kerja, cari wang, dan mungkin tidak perlu pendidikan tinggi, hanya perlu ada fikiran waras untuk guna wang. Tidak perlu beli jet peribadi, beli sahaja tiket MAS atau Air Asia untuk kemana sahaja destinasi di planet dunia ini. Tidak perlu beli rumah besar, hanya bila teringinkan bilik tidur besar dan makan berhawa dingin makanan cita rasa luar negeri, menginaplah dua tiga minggu di mana-mana hotel lima bintang atau lebih. Kiranya lebih lama, maka mungkin merasa bosan, pindahlah ke hotel lain dengan suasana yang baru. Tidak perlu cari isteri atau suami, kerana isteri atau suami yang akan cari anda. Dengan kerja, dan gaji aku ini, bonus dan sedekah orang, mungkinkah capai sejuta Ringgit Malaysia pendapatan, sepanjang hayat aku? Se bilion? Sejuta juta? Aku boleh hidup sejuta tahun lagi! Di mana letaknya karisma?

Wednesday, July 14, 2010

TERENGGANU KITA


Hujung minggu lepas, aku memandu ke Trengganu, dari JB melalui Pahang untuk urusan pribadi. Jam 8 malam baru melalui Kemaman, dan jam 12 malam baru sampai ke Pantai Batu Buruk. Bermalam di sebuah hotel terkenal lama di Kuala. Pagi-pagi bangun untuk sarapan, terbayang nasi dagang dengan ikan aya, satu-satunya makanan dari Pantai timur yang menggiurkan selera. Pergi ke meja makanan, nasinya masih banyak tetapi lauknya hanya tinggal kuah dan tulang. Memang rezeki musafir tidak ada pagi itu. Aku mengisi perut dengan roti bakar dan kuetiau. Mungkin asal dari pantai barat.

Waktu semalam, bandar ini sungguh indah dengan lampu dan jalan yang bersih. Pagi ini, jalan menghala ke Gong Badak agak penuh dengan kereta dan motosikal. Walaupun sesak, kenderaan tetap bergerak, walaupun perlahan. Sebuah kereta memotong laju dan aku tertanya-tanya apakah yang dikejar pemandunya. Tidak ada lori barang kecuali tanker. Mungkin lori melalui jalan-jalan lain.

Rupa-rupanya banyak gong di Terengganu ini. Gong Rusa. Gong Ajil. Gong Kapas dan lain-lain. Mesti ada yang nostalgik disebalik nama, agaknya. Begitu juga macam di Johor. Banyak Kulai, Masai, Skudai, Pulai, dan lain-lain.

Pagi ini aku dikejutkan dengan berita muka depan surat khabar. Harga minyak petrol naik. Harga gula naik. Mungkinkah harga teh tarik naik? Mungkinkah kuih muek naik. Segala makanan yang memerlukan gula naik? Bagaimana dengan reaksi orang Kelantan yang memang sukakan gula dalam banyak menu mereka? Mungkinkah lepas ini kurangnye penyakit kencing manis? Apakah kenaikan harga gula akan mengurangkan selera terhadap rasa manis? Bukankah manis itu selalu diajukan baik kepada wajah senyuman dan hati budi? Apakah kurang gula akan bermakna kurangnya manis pada ciri manusia itu?

Aku sudah mula merasa ramai berkehendak untuk menukar kereta kapada yang lebih kecil. CC kecil bermakna kurang penggunaan minyak untuk perjalanan yang sama. Atau perlukah aku kurangkan perjalanan? Kuranglah pergerakan, kuranglah kehidupan nanti. Aku kira-kira, gaji sudah mati. Mana cari duit lebih untuk tampung kenaikan belanja yang wajib ini? Perlukah cari kerja lain? Part time? Atenden pam minyak. Atau cashier hyper market? Atau aku jual saje kereta dan naik bas. Mungkinkah tiket bas akan naik?

Kurangkan pembaziran. Itu selalu nasihat aku pada anak-anak yang aku hantar sambung belajar. Pembaziran apa Abah? Ini RM10 sehari cukup-cukup makan tengahari dan malam. Aku terpaksa tambah RM5 lagi untuk sarapan pagi dan minum petang. Patutlah bila mereka balik, nampak kurus. Kalau timbang mahu aku teka tolak 5 kilogram. Sekurang-kurangnya. Pembaziran apa? Yang adapun tak cukup!

Tak tau pun aku ada subsidi kerajaan pada banyak barang keperluan. Ingat aku, macam juga Pak Cik aku, subsidi hanya pada baja sahaja... Jadi selama ini kerajaan banyak bayar minyak kereta aku? Gula aku? Banyaknya aku terhutang budi dengan mereka. Apa lagi hah? Apakah kenaikan ini tidak begitu membebankan? Guano kita...

Sunday, July 11, 2010

PMR dan UPSR

Seorang pelajar datang berjumpa dengan Profesornya.
'Prof. Tolong lah saya. Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk dapat A dalam kursus ini'.
'Betul apa sahaja?'
'Betul apa sahaja tuan Prof. suruh saya sanggup'.
OK...
Ya, ya, ya.
'Ok. Saya mahu awak balik dan baca buku.'

Betapa keputusan peperiksaan boleh menyebabkan seseorang sanggup buat apa saja, waia, hilang pertimbangan sekalipun. Betapa tinggi seseorang boleh meletakkan nilai dan taruhan pada peperiksaan. Keputusannnya bergantung kepada cara menjawab soalan, kepada cara belajar, membaca buku, tingkahlaku dalam bilik darjah, terutama kaedah mengajar oleh guru. Betapa tekanan pada guru oleh murid, guru-guru lain, pengetua dan pihak pentadbiran sekolah dan Kementerian dan semua stakeholder lain mengubah sistem pengajaran dan pembelajaran dari learning oriented kepada exam oriented. Inilah punyanya, asal usulnya kepada polemik penghapusan PMR dan UPSR. Peperiksaan tersebut adalah satu peperiksan piawai yang mempunyai taruhan tinggi.

Taruhannya adalah masa depan pelajar. UPSR boleh mempengaruhi keputusan untuk berada dalam persekitaran dan prasarana yang lebih baik, di sekolah premier atau sekolah berasrama penuh, atau dalam kelas yang berpenghuni cirinya juga piawai. Pelajar yang tidak dapat mencapai matlamat sekolah dan ibubapa atau diri sendiri akan menjadi tidak berfungsi, akan menjadi disfungsional, kerana fungsi bermaksud memenuhi matlamat orang lain. Bayangkan UPSR telah boleh menentukan seseorang itu befungsi atau tidak dalam masyarakat pada umur 12 tahun!

Keputusan PMR dijadikan alat untuk memilih jurusan, sains atau sains sosial atau teknikal dan vokasional. Minat tidak dinilai dan dengan itu tidak diambilkira. Hanya keputusan berdasarkan jawapan dalam peperiksaan dengan andaian semua pelajar yang wajib mengambilnya, andaiannya semua pelajar di Malaysia mempunyai ciri yang sama. Dengan itu minat yang sama? Keputusan PMR menentukan hala tuju masa depan, kebolehupayaan melanjutkan pelajaran, menjawat pekerjaan yang akan didukung seumur hidup, status sosial yang dibawa bersamanya. Mereka ynag ingin menjadi doktor perubatan perlu mengambil jurusan sains. Keputusan PMR menentukan kareer seseorang pada umur 15 tahun. Kenapa tidak sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan (exam oriented)?

PMR dan UPSR hanyalah satu alat untuk menguji keberkesanan pendidikan. Ia boleh diganti dengan sistem peperiksan lain. Tetapi, apakah matlamat sebenar pendidikan boleh dicapai? Bagi ramai orang ia bukan isu kerana mereka telah keluar dari sistem termasuk anak-anak mereka.

Seorang bapa bertanya kepada anaknya yang baru pulang dari sekolah.
Adik belajar apa hari ini?
Anak menjawab.
Cikgu ajar adik ...

Tuesday, July 6, 2010

PENARI BINTANG: penari bintang

PENARI BINTANG: penari bintang: "Bila malam, tanpa awan, aku merenung kelangit, nampak bintang-bintang gemerlapan, seolah-olah menari, sesama sendiri, dengan rentak yang tid..."

penari bintang

Bila malam, tanpa awan, aku merenung kelangit, nampak bintang-bintang gemerlapan, seolah-olah menari, sesama sendiri, dengan rentak yang tidak boleh aku pastikan. Alangkah baik dan indahnya, kalau aku dapat bersama mereka, melihat bumi dan manusia, dengan rentak mereka sendiri tersendiri. Lebih indahnya, kalau aku salah sebuah dari mereka, menari-nari dari satu angkasa ke angkasa yang lain, ruang yang tiada sekatannya.

Guru sains aku dahulu kala berkata, bintang itu adalah matahari, yang jauhnya berjuta-juta batu, dan cahayanya berjalan juga berjuta-juta batu, baru sampai ke bumi. Tetapi kerana cahaya itu bergerak sangat pantas, maka masa yang diambil tidak boleh dikira seperti manusia berjalan kaki. Batu dan kaki adalah ukuran jarak yang sudah tidak lagi formal di Malaysia, tetapi masih digunakan untuk ramai manusia normal untuk faham tentang banyak berkara biasa.

Kelmarin aku terima email, ajak sertai majlis alumni sekolah menengah di KL hujung bulan nanti. Dijemput juga menyertai laman facebook, untuk bersosial agaknya dengan rakan-rakan lama. Betapa masa itu sangat cepat berlalu. Dua tiga puluh tahun yang lama, hanya seperti semalam, dan tatacara peristiwa diantaranya, hilang entah ke mana. Ramai manusia seperti itu. Mungkin kebanyakannya. Mungkin kesemuanya. Itu kerja pakar psikologi untuk mengkaji. Tapi aku masih seperti dahulu, masih muda dan punya semangat. Pemikiran, harapan dan angan-angan masih seperti dulu. Cuba jumpa rakan sebaya seusia. Gurau dan ucapan masih tidak berubah. Cuba sekali sekala dikejutkan oleh sapaan /pembantu kedai atau kashier, "PakCik, boleh saya bantu?". Haahhh? Rasanya baru semalam mereka memanggil aku 'abang'.

Satu demi satu Tuhan beri dan kemudian, diambilNya. Jika dimahu ambil semuanya sekali gus, boleh dibuatnya. Rakan kepada rakan aku, beberapa bulan dahulu, sedang membasuh kereta, tiba-tiba tersandar ditiang rumah, sudah meninggal dunia. Rakan sekerja dahulu, bersara tidak mahu bersara kerana katanya memudaratkan. Pergi holiday di sebuah pulau popular, meninggal dunia dalam bilik hotel. Jadi, jika Tuhan itu mengaburkan mata, itu kira ok kerana selepas itu mungkin diambilnya pendengaran, dan selera makan dan berbagai lagi, satu demi satu. Dan akhirnya menjadi takut sendiri, takut-takut tidur, tidak sedari tidak bangun lagi. MasyaAllah.

Masa itu adalah cabarannya sendiri. Zaman dahulu kala, manusia tidak ada jam, masa dikira berdasarkan peristiwa. Barapa lama anda menanak nasi, berapa kali malam akan jumpa bulan pernama seterusnya, berapa jauh perjalanan dengan nyalaan sebatang rokok atau dimana bayang-bayang anda diwaktu siang atau malam. Untuk itu, anda akan merenung kelangit, tanpa awan, akan nampaklah bintang-bintang menari-nari sesama mereka. Mungkin menjadi seperti aku, bersedia terbang, untuk menjadi penari bintang...